Jumat, 14 Desember 2012

HOLY WAR : Chapter 2 - Perang salib I

DETIK-DETIK PEPERANGAN


          Pierre I'Ermite seorang paderi yang berasal dari Amiaen, Perancis mengasingkan diri dan hidup secara rahib. Pada tahun 1093M/486H beliau keluar bersama pengikutnya untuk menziarahi dan menunaikan rukun suci (ibarat haji ke mekah) di Baitul Maqdis (Jurusalem). Walaubagaimana pun beliau terkejut apabila mendapati Baitul maqdis berada di bawah pemerintahan Islam menyebabkan beliau bersedih dan mendorong beliau untuk menemui ketua paderi Baitul Maqdis. Di pertemuan tersebut, beliau diberitahu bagaimana muslimin berjaya mengambil alih Baitul maqdis dan bagaimana Kristian ditindas di  Baitul Maqdis sehingga kedua-duanya menangis dan berpelukan. ini menguatkan keazaman Pierre untuk membebaskan Baitul maqdis dari penguasaan Muslimin.

          Beliau berangkat menuju Rom untuk berjumpa dengan Pope Urban II dan mengadu kepadanya apa yang berlaku di Baitul maqdis sebagaimana yang diceritakan oleh ketua paderi Baitul Maqdis dan keazamannya untuk merampas Baitul Maqdis. Pope berjanji akan memberikan sepenuh bantuan untuk tujuan itu. Atas arahan Pope, Pierre mengelilingi Eropah (Italy dan Perancis) dengan hanya menaiki keldai dan membawa salib di tangannya sambil menyeru di jalan-jalan dan gereja menceritakan tentang kedudukan Kristian di timur yang tertindas serta melaungkan supaya diadakan peperangan. Semasa menjelajah, beliau ditemani oleh orang kristian timur yang berada di eropah. beliau mendapat sambutan yang hangat di sepanjang perjalanannya. Mereka menangis bersamanya dan berjanji untuk sedia berkorban demi menawan Baitul Maqdis.

PERHIMPUNAN DI PLAISANCE


          Setelah melihat kejayaan usaha yang dijalankan oleh Pierre I'Ermite, Pope berusaha untuk mengadakan perhimpunan di bandar Plaisance, Utara itali. Perhimpunan ini mengumpulkan paderi-paderi dan cendekiawan-cendekiawan. Implikasinya, kesemua yang hadir bersepakat untuk bersama-samapergi ke Baitul Maqdis bagi melancarkan perang. Walaubagaimana pun  oleh kerana suasana yang tidak stabil di Eropah dan tiada persediaan, keputusan perhimpunan ini tidak dapat dilaksanakan.

PERHIMPUNAN DI CLERMONT


          Rentetan dari kegagalan perhimpunan di Plaisance, pada 26 Nov 1095/488H diadakan pula perhimpunan kedua di bandar Clermont, Perancis. Perhimpunan ini dihadiri oleh gabenor-gabenor, ketua-ketua paderi dan wakil-wakil raja. Berbekalkan semangat yang tinggi, mereka bersepakat mengisytiharkan perang ke atas Baitul Maqdis (Jurusalem). Kemudian pengisytiharan perang ini disebar ke seluruh Eropah sehingga mendapat sambutan dari penduduk-penduduk England, Austria, Itali dan sepanyol. Suasana di Eropah yang sedang mengalami kebuluran dan bencana alam ketika itu menjadi faktor pendorong utama pengisytiharan ini mendapat sokongan. Fenomena ini dieksploitasi oleh Pope dengan menbangkit-bangkitkan kekayaan yang dimiliki oleh timur kepada penduduk Eropah yang miskin dan melarat.

PERJALANAN PEPERANGAN


          Angkatan pertama yang dipimpin oleh Pierre I'Ermite berada dalam keadaan yang tidak teratur dan tidak lengkap, bahkan tidak mempunyai ketua tentera. Kebanyakannya tanpa senjata dan disertai sama oleh ahli keluarga mereka. Mereka berjalan dalam keadaan tidak terkawal, merosak dan merampas harta benda sehingga berlaku pertempuran dengan penduduk-penduduk negeri yang dilalui terutama di hungary menyebabkan kematian yang ramai ddi pihak mereka. 

          Akhirnya pada Julai 1096/489H, baki angkatan pertama ini sampai di Constantinople. Mereka terus ke bosfour oleh Maharaja Constatinople. Berita pendaratan mereka di Asia Kecil sampai ke pengetahuan Sultan Qalij Arsalan As-Saljuki. Sultan Qalij mengambil keputusan untuk menyerang mereka dan berjaya menghapuskan angkatan ini berhampiran dengan bandar Naqih. Baki angkatan pertama ini melarikan diri ke Constantinople.

          Dalam masa yang sama di Eropah, golongan feudal iaitu dari golongan pemerintah dan bangsawan bersiap sedia memperlengkapkan angkatan kedua, juga di bawah penyelenggaraan Pope. angkatan ini bergerak secara tersusun di bawah empat kumpulan :


  1. Angkatan dari selatan Perancis di bawah pimpinan Raymond de Saint-gilles.
  2. Angkatan dari utara Perancis di bawah pimpinan Robert courte-Heuse dan Robert II Comte de Flandre
  3. Angkatan dari pedalaman Perancis di bawah pimpinan Godfrey de Bouillon dan Baudouin de Boulogne
  4. Angkatan dari selatan itali di bawah pimpinan Tancred dan Bohemond.

Angkatan kedua ini berjaya menarik ramai sukarelawan di sepanjang perjalanan mereka terutama dari Jerman, Austria dan Hungary sehingga bilangan mereka meningkat membentuk satu angkatan tentera yang amat besar disertai oleh beratus-ratus ribu orang. Mereka sampai di constantinople dalam jangka waktu yang berbeza kerana perbezaan jarak jalan yang dilalui.

BERMULA DARI CONSTANTINOPLE


          Maharaja Constantinople, Alexis Comnene merasa takut dan curiga apabila melihat bilangan tentera salib yang terlalu ramai menyebabkan berlaku perselisihan antara mereka sehingga hampir berlaku perang sesama sendiri. Walaubagaimana pun kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai. Tentera salib bersetuju mengembalikan semula semua tanah yang berjaya dirampas dari kerajaan Saljuk untuk diserahkan kepada raja Constantinople.

          Sebagai balasannya, Alexis berjanji untuk memberikan segala bantuan kepada tentera salib.

PERJALANAN TENTERA SALIB DI ASIA KECIL


          Selepas perjanjian dimeteraikan, tentera salib menuju ke Bosfour kemudian ke Naqih dan sampai di sana pada Mei 1097. Mereka mengepung Naqih dan di sana berlaku beberapa siri pertempuran dengan tentera Qalij Arsalan. Akhirnya selepas 50 hari, Naqih berjaya ditakluk. Walaubagaimana pun menurut perjanjian, Naqih terpaksa diserahkan kepada raja Constantinople yang dilakukan pada Julai 1097.

          Mereka meneruskan perjalanan dan berlaku pertempuran sengit dengan tentera Qalij arsalan berdekatan dengan Dourili. Oleh  kerana bilangan tentera salib yang ramai, tentera Qalij Arsalan terpaksa menerima kekalahan. selepas itu, qalij Arsalan berundur dan melakukan taktik perang bumi hangus, membakar semua tanaman di sepanjang jalan untuk melemahkan tentera salib. Ini menyebabkan tentera salib menghadapi kehausan dan kebuluran sehingga ramai yang mati tetapi akhirnya mereka sampai di kawasan lembah di Pisidie yang mengandungi air.

          Mereka seterusnya menuju ke Qounia dan melalui jalan pergunungan  tourous sehingga sampai ke Armenia Kecil. Di sana, mereka disambut dengan baik dan diraikan oleh penduduk setempat yang majoritinya kristian. Mereka juga menerima bantuan tentera sukarelawan. Dari Armenia Kecil mereka berangkat menuju ke Antioch.

PENGEPUNGAN ANTIOCH DAN PENAKLUKANNYA


          Antioch memiliki banyak kubu yang kuat dan berada di bawah pemerintahan Yaghisan As-Saljuki. Apabila mendengar berita kemaraan tentera salib, Yaghisan membuat persediaan untuk berkubu. Tentera salib sampai di Antioch pada 20 Oktober 1097/491H.

          Disebabkan kekuatan kubu Antioch, mereka mengambil keputusan untuk membuat kepungan. Mereka terpaksa mengalami susah payah, kelaparan dan keletihan apabila kepungan berjalan selama 8 bulan menyebabkan ramai yang berputus asa dan lari pulang. Yang peliknya, orang yang pertama lari ialah Pierre I'Ermite, orang yang bertanggungjawab terhadap peperangan ini . Walaubagaimana pun ia dikejar dan dibawa semula oleh Tancred.

          Dalam masa yang sama, Kerajaan Fatimiyyah di Mesir mengambil peluang dari kegamatan dan kesibukan raja-raja Saljuk mempertahankan Antioch dengan menawan Baitul Maqdis. Selepas itu Khalifah Bani Fatimiyyah, Musta'li Billah menghantar wakilnya berjumpa tentera salib untuk membuat perdamaian dan berjanji menyerahkan gereja di Baitul Maqdis kepada mereka serta membuka pintu untuk pelawat-pelawat Kristian. Walaubagaimana pun permintaan itu ditolak.

          Antioch menerima bantuan dari Muslimin sekitarnya untuk membebaskannya dari kelungan terutamanya dari Halab dan Damsyik (Damascus) tetapi tidak berjaya. Akhirnya, pada Jun 1098, tentera salib dapat menawan Antioch selepas hampir setahun membuat kepungan hasil pengkhianatan yang dilakukan oleh ketua tentera Islam penjaga salah satu menara kubu Antioch, Fairuz Armani. Beliau berasal dari Armenia dan memeluk agama Islam. Seorang yang sukakan harta dan gilakan kedudukan. Sultan Yaghisan cuba melarikan diri tetapi dapat ditawan dan di bunuh oleh tentera salib.

          Dalam masa yang sama, bantuan dari Karbughar dan pemerintah Saljuk yang lain datang untuk membebaskan semula antioch. Mereka mengepung Antioch dan hampir berjaya menawan kembali tetapi berlaku perselisihan antara pemimpin-pemimpin tentera Islam menyebabkan kepungan mereka gagal. dengan ini antioch kekal di bawah pemerintahan Kristian dan Bohemond dilantik menjadi pemerintah.

PENAKLUKAN BAITUL MAQDIS


          Selepas enam bulan berehat, pada Januari 1099, tentera salib berangkat menuju ke Baitul Maqdis dan sampai di sana pada Jun 1099. Pada masa itu Baitul Maqdis di bawah Amir Fatimiyyah, Iftikhar Daulah. Kelemahan khalifah dan semangat yang ada pada tenteranya menjadikan kejatuhan Baitul Maqdis lebih cepat, hanya 40 hari sahaja dari tarikh pengepungan tentera salib. Pada Khamis 14 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera salib. Kejayaan ini mengembirakan mereka kerana ianya berlaku pada hari Jumaat bertepatan pada masa dan hari kematian Isa A.S. mengikut anggapan mereka.

          Mereka memasuki Baitul Maqdis dengan penuh keganasan, membunuh semua muslimin tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita, orang tua atau kanak-kanak. Seramai 70,000 orang dibunuh di dalam masjid dan tentera salib mengambil keputusan membunuh semua muslimin dan yahudi. mereka melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya selama beberapa hari dan membiarkan mayat-mayat bergelimpangan di jalan-jalan. ada di antara mereka yang melarikan diri ke Asqalan. Sementara yahudi yang bersembunyi di tempat ibadat mereka dibakar hidup-hidup. Berita kekejaman tentera salib dan tragedi yang menimpa Muslimin Baitul Maqdis menyebabkan Muslimin menangis beramai-ramai. Khalifah meminta raja-raja Saljuk menawan semula Baitul Maqdis tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka masih bertelagah sesama sendiri.

          Kerajaan Fatimiyyah di Mesir merasakan kedudukan mereka dalam bahaya. mereka membuat percubaan untuk menawan semula Baitul Maqdis di bawah pimpinan ketua tenteranya Al-Afdal Syahan Syah pada 14 Ramadan 492H/ 12 Ogos 1099. Walaubagaimana pun percubaan ini dapat dipatahkan oleh tentera salib berdekatan dengan Asqalan dan malangnya Asqalan pula jatuh ke tangan tentera salib.

BERAKHIRNYA PERANG SALIB I


          Setelah kekalahan tentera fatimiyyah di Asqalan, tentera salib dapat merasakan kelemahan tentera Islam dan berkurangnya ancaman kepada kerajaan Baitul Maqdis yang baru. Mereka mengambil keputusan untuk balik ke Eropah dan bersetuju melantik Godfrey sebagai pemerintah Baitul Maqdis. Godfrey menolak untuk memakai mahkota dan gelaran raja tetapi ingin digeelar sebagai 'penjaga kubur Al-Masikh'. Baki tentera salib meneruskan penaklukan ke kawasan persisiran pantai dan berjaya membina kerajaan-kerajaan salib di kawasan tersebut. 

PEMBENTUKAN KERAJAAN-KERAJAAN SALIB


  1. Kerjaan Raha. Dibina oleh Baudouin de Boulogne pada 18 Julai 1098/489H selepas pemerintah Raha, Armani meminta pertolongan tentera salib. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1144/539H apabila berjaya dibebaskan semula oleh Al-Zinki.
  2. Kerajaan Antioch. Dibina oleh Bohemond disebabkan pembelotan Fairuz al-Armani. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1267/667.
  3. Kerajaan Baitul Maqdis. Merupakan kerajaan salib yang paling besar dimana kerajaan-kerajaan lain tunduk kepadanya. Pemerintahnya digelar raja. Kerajaan ini kekal sehinggalah datang Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis dan menjadikan kerajaan ini hanya kekal di persisiran pantai dan A'ka dijadikan ibu negeri.
  4. Kerajaan Tarablus. Di bina pada tahun 1102/496H dan kekal sehingga tahun 1289/688H.
          




Tidak ada komentar:

Posting Komentar