Jumat, 30 November 2012

HOLY WAR : Chapter 1 - Keadaan Alam Islam Sebelum Perang Salib

          Alam Islam sebelum perang salib berada dalam keadaan huru hara dan perpecahan. Keadaan ini memberi peluang kepada musuh bertindak dengan mudah. Mesir umpamanya, berlaku kebuluran dan beberapa percubaan mengguling kerajaan. Suasana ini telah menggugatkan keamanan di negara ini. Di Iraq, berlaku perselisihan dikalangan pemerintah sementara Syam pula menjadi medan pertempuran diantara Fatimiah dan Bani Saljuk.

          Keadaan umat islam di sebelah barat pula sama seperti di timur. Tunis misalnya, berlaku huru-hara, perpecahan dan hilang kesatuan dalam politik. Andalus pula telah mengalami zaman kemunduran dan tentera salib pula telah mengambil kesempatan ini untuk menawan bandar-bandar yang berada di bawah pemerintahannya.

PEPERANGAN SALIB


             Perang salib merupakan serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh orang-orang kristian barat sepanjang dua kurun bertujuan merampas tanah suci baitul Maqdis dari orang islam. Ia juga bertujuan menyekat kemaraan pengaruh Agama Allah, Islam yang telah tersebar luas di bumi Eropah di samping percubaan mereka untuk menjajah bumi Islam.

MENGAPA DINAMAKAN PERANG SALIB


          Ia disebabkan peperangan ini diasaskan atas nama agama Kristian. Gereja-gereja di Eropah menyeru kepada peperangan ini dan memberi sokongan dan bantuan kepada tentera salib sama ada dalam bentuk material mahupun moral. Perang salib tercetus pada akhir kurun ke-11 masehi (1096 / 490H) berikutan ucapan yang disampaikan oleh Pope Urban II di perhimpunan Clermont, selatan Perancis yang dihadiri oleh orang-orang Kristian Eropah.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PERANG SALIB


          Ahli sejarah berselisih pendapat dalam menentukan faktor-faktor yang mencetuskan peperangan ini. Mengikut ahli sejarah barat, ekonomi, sosial dan politik adalah faktor utama sementara faktor agama adalah faktor sampingan. Ahli sejarah Islam dan umat Islam yang hidup di zaman tersebut pula menganggap bahawa faktor agama adalah faktor utama manakala faktor lain hanyalah sampingan. Ini berdasarkan kepada peristiwa pertama yang menyebabkan tercetusnya perang salib ini iaitu apabila Pope Urban II mengishtiharkan perang salib untuk menentang umat Islam. Mereka yang mendengar khutbah ketika itu mengangkat suara sambil berkata "Ini adalah kehendak Allah", lantas dengan segera mereka mengambil salib dan dengan semangat membabi-buta menuju timur Islam untuk merampas Baitul Maqdis dan bahagian timur dari tangan umat Islam.

          Pada masa itu, gereja-gereja di Eropah mendapat tempat di hati masyarakat Eropah. Agama dijadikan penggerak utama kepada pemikiran dan sentimen orang-orang kristian ketika itu. Maka lahirlah di sana syiar yang mengatakan tidak sepatutnya orang-orang masihi bermusuh sesama sendiri. Mereka menyeru supaya tenaga disatu dan ditumpukan sepenuhnya untuk menentang kemaraan Islam yang kian mendapat tempat di seluruh alam. Hasilnya, kesedaran betapa pentingnya merampas Baitul Maqdis dari tangan umat Islam lahir dikalangan orang-orang kristian Erolah pada kurun ke-11.

Rombongan spiritual (ibarat haji bagi umat Islam) orang-orang kristian ke baitul Maqdis semakin bertambah. mereka dibenarkan membawa senjata untuk mempertahankan diri daripada bahaya di sepanjang perjalanan ke Palestin. Apabila kembali ke Eropah, mereka mereka-reka berita bahawa orang Islam telah menzalimi dan membunuh mereka. Paderi Perancis Pierre I'ermit merupakan orang yang kuat menabur fitnah dan berusaha menyatukan orang-orang kristian untuk menentang orang Islam.

          Orang-orang kristian merasakan tidak sepatutnya Baitul Maqdis yang menjadi tempat lahir Nabi Isa A.S. berada di bawah jagaan orang lain. Semangat ini semakin berkobar-kobar dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh paderi-paderi bahawa mereka menyertai perang salib ataupun memberi saham sama ada dalam bentuk harta benda dan sebagainya dihapuskan dosa-dosa dan kesilapannya. Mereka juga akan berada di bawah jagaan gereja. Paderi-paderi telah memainkan peranan yang penting dalam meniup semangat ini melalui khutbah-khutbah. Mereka juga menjelajah ke seluruh pelusuk Eropah untuk membakar semangat ini. Beberapa pertubuhan agama Kristian di Eropah pada masa tersebut juga telah memainkan peranan yang sama.

PERANAN POPE


          Penguasaan paderi dalam semua bidang semakin ketara kesan kesedaran agama. Ini membuka jalan kepada gereja-gereja untuk membentuk satu kekuatan yang mampu menjaga orang-orang Kristian dan menyebar agama tersebut ke segenap pelusuk alam. Paderi adalah pemimpin ruhi yang utama dalam masyarakat barat. Mereka mula menghadapi kelemahan dan perpecahan dengan lahirnya mazhab orthodok yang menentang mazhab  katolik. Mazhab Orthodok dianuti oleh pemimpin Constantinople manakala katolik pula dianuti oleh gereja Rome. Permusuhan wujud diantara kedua-dua mazhab ini. Pada tahun 1071M, Byzantine dikalahkan oleh tentera Islam Bani saljuk dalam peperangan Mantzikert. Rasa takut timbul dikalangan masyarakat barat terhadap kemaraan Islam ke bumi Eropah melalui Constantinople. Lantaran itu orang-orang kristian Constantinople meminta bantuan dari Pope Rome untuk menentang orang Islam. Permintaan itu disambut baik oleh Pope Rome demi menjayakan beberapa matlamat antaranya menyatukan dua gereja yang berbeza aliran dan menambahkan kekuatan di pihak Kristian untuk menghadapi orang-orang Islam.

FAKTOR EKONOMI


          Sistem feudal yang menguasai barat telah mewujudkan hubungan buruk di kalangan pemimpin sesama mereka. Layanan buruk kepada para hamba dan petani, peperangan, huru-hara dan bencana alam berlaku secara meluas di Eropah. Faktor-faktor tersebut telah mendorong sebahagian besar pemimpin Eropah mencari penempatan baru yang subur dan aman.

          Mengenai pembahagian pusaka pula, harta hanya diberikan kepada saudara yang tua. Ini mendorong kepada pemuda yang tidak mendapat sebarang habuan mencari jalan keluar untuk menghasilkan harta, khususnya tanah. Bagi golongan hamba pula, perang salib memberi peluang kepada mereka membebaskan diri dari kezaliman tuannya. Di samping itu terdapat golongan yang suka kepada kemegahan dan nama. Penyertaan mereka dalam peperangan ini akan menampakkan kehebatan dan keberanian mereka. Mereka akan digelar 'Battle'.

          Hasil pengeluaran tanaman di Eropah pula sebelum berlakunya perang salib pertama mengalami kemerosotan secara menyeluruh. Kebanyakan penduduk Eropah mengalami kebuluran. Di sesetengah kawasan pula, mereka terpaksa memakan daun kayu. Suasana bertambaah buruk apabila tersebarnya wabak penyakit. Seruan menyertai perang salib memberi peluang kepada mereka keluar dari negara tersebut ke alam baru di timur untuk menikmati keamanan dan ketenteraman.

FAKTOR POLITIK


          Ahli sejarah menyatakan bahawa kerajaan dan pemerintah barat menyertai perang salib berdasarkan kepada kepentingan politik mereka. Kebanyakan pemimpin terpengaruh dengan kata-kata paderi dan sebahagian yang lain pula menerima ugutan dari gereja bahawa mereka tidak akan merasai kebahagiaan di akhirat dan tidak akan ditaati oleh rakyat. di antara pemimpin yang menyertai peperangan ini kerana inginkan nama dan kepentingan politik serta mengharapkan sokongan pihak gereja ialah Frederic Barbarossa, richard Phillip dan Frederick II.

FAKTOR PERNIAGAAN


          Negeri di bawah pemerintahan italy yang terletak di utara laut mediterranean seperti Al-bondoqiah, Janwa dan Beza berusaha dengan membelanjakan harta dan senjata untuk menggalakkan berlakunya perang salib. Mereka bertujuan menyempitkan keadaan umat Islam dan memiliki sebahagian daripada pelabuhan yang terletak di timur dan selatan Mediterranean. Mereka ingin menjadikan pelabuhan tersebut sebagai pusat perdagangan yang penting. Dengan ini mereka bersedia membantu tentera salib dengan memindahkan mereka melalui laut ke timur. Di sebalik itu, mereka mengenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan ke atas Syam dan Mesir. jelas di sini bahawa matlamat orang Itali hanyalah untuk kepentingan peribadi dan perniagaan mereka. Matlamat ini tidak akan tercapai kecuali dengan menghancurkan kekuatan Islam dan memberi bantuan kepada tentera salib.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar